Isnin, 16 Januari 2012

Kenali Khadam Ayat

Soalan: Saya pernah menuntut ilmu yang dikenali sebagai “ilmu khadam ayat” daripada seorang
pak haji yang tinggal di negara jiran dan saya mengamalkannya sehingga sekarang ini. Banyak
kebaikan yang diperoleh, tetapi sejak kebelakangan ini isteri saya kadang-kadang terlihat lembaga
seperti saya, padahal ketika itu saya kerja luar dan tidak bermalam di rumah. Adakah apa yang
berlaku hanya khayalan isteri saya semata-mata?
– Paidi Keromo, Banting.


Jawapan: Satu istilah yang agak popular di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan
tradisional ialah “khadam ayat”. Menurut seorang responden, khadam ayat bukan daripada
golongan manusia, jin ataupun malaikat, tetapi merupakan “khadam” kepada ayat yang dibaca dan
diamalkan menurut kaedah tertentu. Ayat al-Kursi misalnya memang mempunyai fadilat besar yang
boleh digunakan untuk merawat sakit akibat gangguan. Sekiranya seseorang itu membaca ayat ini
dalam kekerapan tertentu, selama 40 hari di tengah malam di samping membaca ayat-ayat berikut:
Bi ‘s-mi ‘Llahi mujbiruha
Aqsamtu calayka ayyuha ‘l-Khadim Qaytu ‘r-rusi
Bi ‘s-mi ‘Llahi ‘l-cazimi ‘l-aczam
Inni cabdullah wa bi ‘n-nuri wa bi ‘Llah
Wa bima jara bihi ‘l-calimu cinda ‘Llah.


Orang yang berkenaan akan didatangi oleh makhluk berjubah hijau menghulurkan tangan dalam
keadaan sedar, bertanyakan apa yang dihajati. Tujuan yang perlu dijelaskan oleh pengamal ialah
supaya makhluk itu taat menurut perintahnya.


Menurut responden, khadam ayat akan menjaga diri pengamal, keluarga dan harta bendanya, juga
boleh digunakan untuk tujuan rawatan. Ia juga boleh diperintahkan menjaga orang lain. Ketika
pengamal tidak ada di rumah, khadam ayat akan menjaga rumah dengan menjelmakan diri
menyerupai orang berkenaan. Khadam ayat hanya diguna untuk menangani sakit yang teruk
ataupun masalah besar. Memperoleh khadam ayat tidak ubah seperti memperoleh pisau tajam yang
hanya perlu digunakan untuk memotong benda-benda besar. Walaupun demikian ia juga boleh
digunakan bagi tujuan jahat kerana khadam ayat taat menurut kata pengamalnya. Kerana itulah
orang yang mengamalkan kaedah untuk mendapatkan khadam ayat perlu terdiri daripada orang
yang ikhlas dan berilmu agar ilmu yang dimiliki itu tidak disalahgunakan, yang akhirnya akan
merosakkan diri sendiri dan orang lain.


Seorang pengamal rawatan tradisional lain, berumur 60 tahun yang tinggal di Semenanjung
menegaskan orang yang menurun diresapi jin-jin termasuk iblis dan syaitan tetapi khadam
termasuk khadam ayat tidak boleh meresap ke dalam tubuh manusia. Ketika menurun, jin-jin
datang bersatu dengan roh (angin) yang disedut melalui pernafasan meresap dalam tubuh
menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri. Apabila angin iblis lebih banyak atau lebih
menguasai angin badan (hak Allah) dalam tubuh maka ia akan menyebabkan seseorang ini tidak
sedarkan diri (menurun). Hal yang sama berlaku ke atas mereka yang terkena rasuk.Menurut pengertian yang difahami orang Melayu, khadam bererti hamba ataupun orang suruhan
yang taat kepada tuannya. Menurut responden yang sama, khadam yang dimaksudkan di sini bukan
orang suruhan seperti yang difahami umum, seumpama hubungan antara seorang tuan dengan
orang suruhannya.


Khadam adalah sejenis makhluk, bukan daripada golongan manusia dan bukan daripada golongan
jin sama ada jin kafir ataupun jin Islam. Khadam yang mendampinginya bukan terdiri daripada
makhluk halus belaan atau sahabat kerana ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian antara mereka
dalam keadaan apa sekalipun, sama ada untuk memberi makan pada waktu-waktu tertentu atau
sebagainya.


Khadam yang berdampingan dengannya adalah terdiri daripada makhluk yang diutus oleh Allah
yang termasuk dalam golongan makhluk ghaib. Dia adalah hamba Allah yang bertaraf wali, seperti
wali sepuluh yang terpilih daripada segala wali yang dikenali sebagai “Rijalul Ghaib”, yang juga
dikenali sebagai “Khadam Roh”.


Khadam bukan jin Islam, tetapi wali Allah. Makhluk yang tidak berdosa, asalnya adalah manusia,
apabila mati ghaib begitu sahaja tanpa kubur. Responden mendakwa gurunya dari Kelantan, ghaib
setelah dikebumikan. Khadam adalah hak Allah.
Amalan yang dilakukan olehnya untuk berdampingan dengan khadam ialah dengan mengadakan
kenduri terlebih dahulu sebelum mengamalkan ayat-ayat yang terdiri daripada Kepala Doa
Akashah, Doa Akashah, Pelapik Doa Akashah, Doa Rijalul Ghaib selepas menunaikan sembahyang
fardu selama 40 hari.


Tidak lama setelah mengamalkan ayat tersebut ia bermimpi melihat bulan. Pada malam berikutnya
ia bermimpi didatangi oleh seorang lelaki berjubah yang kemudiannya diikuti oleh mimpi-mimpi
lain yang tidak pernah berlaku sebelum itu pada malam-malam berikutnya. Bermula dari hari itu ia
didampingi khadam yang boleh dipanggil untuk tujuan rawatan dan tilikan.
Ketika melakukan rawatan ataupun ketika berhadapan dengan seseorang yang memerlukan
pertolongan, responden akan memanggil khadam yang mendampinginya tadi. Perkataan “Tok
Syeikh” digunakan untuk merujuk kepadanya. Bagi tujuan rawatan, mula-mula responden akan
bertanyakan nama pesakit ataupun orang yang memerlukan pertolongan. Kemudian ia memanggil
Tok Syeikh dengan kata-kata:


Bis ‘mi ‘Llahi ‘r-rahmani ‘r-rahim
Ya allah, ya Tuhan,
Ya Ilahi, kaf ha ya cayn sad
Ya Hayyu ya Qayyum, Ya sadiq
Ya uli ‘l-albab.
(kata-kata ini disambung dengan bacaan al-Fatihah yang didahului oleh bacaan bismillah).
Ya Rijalul ghaib
Wali-waliAs-salamu calaykum ya Rasulullah
Ya Jibrail
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah
Ya Rijalal Ghaib
Mari sini
As-salamu calaykum
Ya Qutub, Nubah, Abdar, nor Jabar
Penjaga alam
Ya Rijalul Ghaib
Engkau jaga empat penjuru alam ini
Engkau jaga diri aku
Jangan beri rosak mari
Dan anak isteri aku
Dan harta milikku
Ya Rijalul Ghaib
Mari sini, tengok apa sakit
(sebut nama pesakit dan nama ibunya)
Ya Rijalul Ghaib.


Sekiranya sakit yang dialami oleh seseorang itu akibat sihir, khadam akan memberitahunya
termasuk jenis sihir sama ada sihir melalui pemakanan, terlangkah benda dan sebagainya. Dalam
masa yang sama, khadam boleh diminta memusnahkan sihir yang ditanam di bumi, ataupun sihir
yang dibuat dengan kaedah lain.


Setelah upacara rawatan sempurna dilakukan, responden membaca ayat-ayat al-Quran (at-Talaq: 2-
3) yang lebih dikenali sebagai Ayat Seribu Dinar.
Responden juga mendakwa bahawa ia tidak ada membuat apa-apa perjanjian dengan rijalul Ghaib.
Apa yang dilakukan ialah membaca al-Fatihah sebanyak tiga kali yang disedekahkan kepada
Rijalul Ghaib sebelum ia memanggilnya datang. Makhluk ini amat suka disedekahkan dengan
bacaan al-Fatihah.


Setelah Adam sempurna dijadikan, Allah memerintahkan para malaikat agar sujud
menghormatinya. Iblis yang pada mulanya begitu tekun, taat dan tunduk menghambakan diri
kepada Allah bersama para malaikat (Umar Sulaiman, 1985: 42), menjadi sombong dan takbur,ingkar sujud kepadanya kerana ia merasakan dirinya yang dijadikan daripada api itu lebih mulia
daripada Adam (al-a’raf: 12). Allah telah melaknat dan mengusirnya keluar dari syurga dan akan
ditempatkan di neraka (al-a’raf: 38 dan 179, as-Sajdah: 13, ar-Rahman: 46-47). Kerana itulah iblis
bersumpah akan menyesatkan Adam dan keturunannya (al-a’raf: 16-17) dan akan melakukan
dengan apa cara sekalipun untuk melaksanakan sumpahannya itu.


Apabila ketaatan bertukar menjadi keingkaran dan reda dengannya, iblis berasa seronok melakukan
kejahatan (ibid: 42). Begitu juga halnya dengan manusia yang rosak, di mana nafsunya sebati
dengan keinginan untuk melakukan kejahatan. Ketika itu ia akan berasa seronok berbuat demikian
dan berasa asyik untuk merosak akal, agama, diri dan harta (ibid: 43).
Iblis telah bersumpah akan menyesatkan manusia yang ada di muka bumi, menyebabkan tidak
ramai manusia yang termasuk dalam golongan orang yang bersyukur (Saba’: 13). Allah ada
berfirman (al-Hijr: 42) menyatakan bahawa iblis tidak mempunyai kekuatan untuk menipu
manusia, kecuali mereka yang tunduk menurut langkah-langkah syaitan yang terdiri daripada
golongan orang yang sesat.


Ilmu kebatinan Melayu mengandungi rahsia-rahsia yang tidak mudah diungkap untuk difahami
oleh masyarakat umum termasuk sebahagian besar mereka yang mempelajari dan
mengamalkannya. Sifat tradisional ilmu-ilmu ini, yang diperturunkan dari mulut ke mulut, satu
generasi kepada satu generasi yang terkemudian meletakkan mereka yang mempelajari ilmu ini
menerima sepenuhnya amalan yang diperturunkan, menyebabkan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa
yang digunakan berubah baris, sebutan, terjemahan dan tafsiran menurut evolusi yang berlaku.


Walaupun demikian, lafaz yang dituturkan masih tetap seperti bunyi perkataan Arab menyebabkan
masyarakat menganggapnya sebagai ayat-ayat al-Quran.
Natijah-natijah yang menarik, yang berupaya menyembuhkan penyakit, meramal tepat peristiwa
yang telah dan sedang berlaku begitu menarik perhatian. Apabila ayat-ayat dan amalan yang telah
dipesungkan, yang melahirkan sesuatu yang luar biasa itu bersatu dengan keyakinan masyarakat,
maka ilmu kebatinan Melayu seperti ini akan terus-menerus wujud dalam masyarakat dan dianggap
sebagai sesuatu yang biasa, padahal natijah-natijah yang menakjubkan tadi lahir daripada amalan
sihir. Sihir tidak akan berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin.


Atabah – Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan